Suruh pergi ujibakat, tapi akhirnya ‘instafamous’ yang dapat berlakon – Akim Nordin

Hiburan

BAKAT baharu Akim Nordin berkata memiliki raut wajah menarik bukanlah tiket mudah untuk bergelar seorang pelakon.

Akim atau nama sebenar Muhamad Hakim Nordin, 23, memberitahu dia kerap menyertai pelbagai ujibakat namun masih sukar menerima tawaran lakonan.

“Bagi saya, semuanya berbalik kepada rezeki… handsome macam mana kita, cantik macam mana orang tu… kalau tak ada rezeki… tak ada jugak.

“Memang penat pergi casting, tapi sebab cita-cita dan minat… kena ada usaha,” katanya ketika ditemui APTB.

Malah, dia turut terkesan dengan segelintir pihak yang hanya mengambil individu yang popular di laman sosial untuk meneraju sesebuah karya.

“Ada pihak lebihkan kepada yang popular jer, kesian yang ada bakat tapi tak famous… tak boleh nak buat apa.

“Saya tahu untuk tujuaan marketing, tapi berharap bakat-bakat juga dipandang sama rata,” ujarnya.

Dalam pada itu, Akim kesal dengan sikap segelintir pihak produksi yang mengadakan ujibakat hanya sekadar untuk mengumpul butiran calon semata-mata.

“Ada yang buat casting hanya untuk ambil profile kami jer… bukan ada job betul pun!

“Paling menyedihkan bila kena game, janji ada job… tapi tunggu punya lama, senyap macam tu saja.

“Sejujurnya banyak kali down, tapi nasib ada kawan-kawan terus memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Bercakap mengenai karier lakonan, Akim berkata peluang membawa salah satu watak tambahan dalam filem Paskal merupakan batu loncatan untuk dia lebih bersemangat bergelar anak seni.

Malah, dia berterima kasih kepada pihak produksi filem tersebut yang memberinya peluang menunjukkan bakat.