Nelydia Senrose tarik diri drama ‘Nur 2’, pengarah pening cari pengganti!

Hiburan

PELAKON Nelydia Senrose menarik diri pada saat-saat akhir daripada membintangi drama sekuel popular Nur  yang dijangka menjalani penggambaran awal Januari depan.

Pengarahnya, Shahrul Ezad memberitahu Nelydia yang sepatutnya memegang watak sebagai Juita membuat keputusan itu selepas berbincang dengan keluarganya dan mereka tidak bersetuju dia membawa peranan itu yang berat.

Keputusan dibuat Nelydia itu ketika dia mengerjakan ibadah Umrah di kota suci Makkah.

“Secara rasminya saya nak umumkan yang Nelydia Senrose tak jadi menyertai barisan pelakon Nur 2 disebabkan sebab peribadi yang saya hormat.

“Mungkin watak itu terlalu ‘daring’ untuk dia yang sedang mengerjakan Umrah sekarang,” kata Shahrul Ezad menerusi Instagram.

Shahrul turut memuat naik paparan skrin perbualannya dengan Nelydia mengenai penarikan dirinya dalam projek itu.

Nur 2 bakal menyaksikan pembabitan pelakon terkenal seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Raja Atiq, Rina Diana, Fatimah Abu Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan, Laila Nasir, Norkhiriah dan Azhan Rani.

Ia dijangka akan ditayangkan di TV3 pada pertengahan Mac depan.

Dalam pada itu, Shahrul berkata sebagai pengarah dia berasa serabut memikirkan pengganti untuk watak Juita memandangkan keputusan Nelydia menarik diri dibuat pada saat-saat akhir.

Rata-rata pengikut mencadangkan beberapa nama untuk menggantikan Nelydia antaranya Ayda Jebat, Izara Aishah, Siti Saleha, Reen Rahim dan ramai lagi.

Sumber: mStar Online, Facebook Shahrulezad Mohameddin