MPM2019 bawa ‘abang kacak’ masuk hutan tanam 1500 anak pokok

Trending

TIADA siapa dapat menafikan bahawa ekosistem bumi ini saling melengkapi dan memberikan pelbagai faedah kepada manusia.

Justeru itu, 16 peserta program pencarian bakat Mister Planet Nation Malaysia 2019 (MPM2019) bersama-sama turun padang menyertai program penanaman semula pokok ‘Go Green with Saset’ di Raub pada Sabtu.

Acara yang dirasmikan oleh YM Tengku Abdul Fahd Mu’adzam berlangsung di Hutan Simpan Tranum, Raub, Pahang itu mewajibkan peserta menanam sejumlah 1500 anak pokok bagi melestarikan semula hutan tersebut.

Bagi salah seorang finalis MPM2019, Muhammad Azim Mazlan, 21, pembabitan dia dalam aktiviti ini telah membuka matanya untuk menghargai alam semulajadi. 

“Menanam semula anak pokok ini adalah untuk generasi akan datang yang akan mewarisi planet indah ini, jika bukan kita… siapa lagi?.

“Saya harap aktiviti menanam semula anak pokok ini dijadikan acara tahunan dan patut dijadikan salah satu aktiviti tetap dalam peringkat sekolah rendah dan menengah,” katanya kepada APTB.

Sementara itu, salah seorang peserta Aryan Naim, 22, turut meluahkan keterujaan dapat menyertai aktiviti ini. 

“Ini kali pertama saya menyertai aktiviti ini dan saya tak sangka ia begitu menyeronokkan.

“Untuk generasi muda seperti saya, memang jarang masuk ke hutan… tapi bila dah masuk… rasa macam tak nak keluar, rasa aman sangat,” ujarnya.

Dalam MPM2019, seramai 16 peserta bersaing merebut gelaran juara.

Pelbagai tugasan dan cabaran diberikan kepada peserta sebelum layak diangkat sebagai juara dalam pertandingan tahunan itu.

Jika anda ingin mengenali kesemua peserta dan mengundi calon pilihan sila layari laman web ini. Fastyle