Jom serbu!! Artis popular meriahkan Festival GT Asia & Bazar Selebriti 2019

Hiburan

BUAT peminat sukan permotoran, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan secara eksklusif perlumbaan kereta di Festival GT Asia yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa, Sepang pada 15 hingga 17 Mac depan.

Bukan sekadar acara perlumbaan kereta, pelbagai lagi aktiviti menarik dianjurkan antaranya bazar selebriti di mana pengunjung boleh bertemu artis popular tanah air.

Menurut Pengarah Eksekutif Country Heights, Matahari Lee, pelbagai acara telah diatur dan dijangka puluhan ribu pengunjung bakal hadir memeriahkan GT Asia dan Bazar Selebriti tahun ini.

“Selain perlumbaan sukan permotoran empat roda yang bakal berlangsung selama tiga hari itu, pelbagai aktiviti lain yang sudah dirancang, termasuklah persembahan daripada jenama automotif dan juga kelab kereta, food truck, ‘simulator’ perlumbaan dan bazar selebriti,” katanya.

Bagi menyemarakkan lagi Festival GT Asia yang merupakan kerjasama antara Country Heights dan Goldenport Enterprise dari China, sesi jualan yang dikenali sebagai Celebrity Bazaar juga turut diadakan bagi memeriahkan sekitar perlumbaan.

Antara barisan selebriti terlibat di dalam sesi tersebut termasuklah Joe Flizzow, Linora Low, Elly Raja Lawak, KTown Clan bersama lebih 45 lagi personaliti lain.

Sementara itu, Pengasas dan Presiden MBits Digital, Sarah Nattaya pula memberitahu program ini sesuai dihadiri oleh seluruh keluarga kerana aktiviti yang akan dijalankan merangkumi setiap peringkat usia.

“Festival GT Asia ini bukan saja untuk mereka yang meminati aksi perlumbaan, tetapi ia juga sesuai untuk dijadikan aktiviti riadah buat seluruh ahli keluarga.

“Oh ya, untuk peminat Joe Flizzow, dia bersama tujuh lagi rakan-rakannya bakal mengadakan persembahan 16 Baris bermula 6.30 petang, 17 Mac ini,” katanya.

Haaa… tunggu apa lagi, yang belum ada perancangan hujung minggu ini, jom meriahkan Litar Antarabangsa Sepang pada 15 sehingga 17 Mac depan untuk menyaksikan sendiri kehebatan dan keseronokan Festival GT Asia dan Celebrity Bazaar!